
APABILA pelakon atau penyanyi menang anugerah, biasanya dua kemungkinan bakal dihadapi selepas kemenangan itu. Pertama, kerjaya seninya terus bersinar atau kedua, makin suram kerana ada pihak takut mengambilnya berlakon atau menyanyi kononnya demand harga tinggi.
Bagi pelakon muda, Liyana Jasmay, 22, yang menang Aktres Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) menerusi lakonannya dalam filem Papadom arahan Afdlin Shauki pada Ogos diikuti di Anugerah Skrin 2009 melalui Kami The Movie, Disember lalu, tawaran berlakon masih lebat diterima.
Paling membanggakan Liyana apabila menerima tawaran daripada produser dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam untuk membintangi filem terbaru terbitan Skop Productions Sdn Bhd, Khurafat. Filem ini diarahkan anaknya, Syamsul yang membuktikan kemampuan mengarahkan KL Drift dan Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.
Kata Liyana, dia bersyukur dengan kejayaan dicapai sepanjang tahun lalu dan akan terus memperbaiki lakonan dengan mencuba pelbagai watak. Tidak terlintas di hatinya untuk letak harga atau terlalu memilih watak selepas menang anugerah. "Sebagai pelakon, kita perlu sentiasa mencari peluang bekerja dengan pelbagai pengarah untuk timba banyak ilmu dan pengalaman. Saya sangat teruja apabila mendapat tawaran daripada Datuk Yusof untuk membintangi Khurafat. "Bukan saja kerana cerita dan watak ditawarkan menarik, tetapi filem ini memberi ruang kepada saya bekerja dengan pengarah dan produksi berbeza. "Saya akui banyak berlakon dengan produksi Tayangan Unggul Sdn Bhd sebelum ini menyebabkan tawaran Skop Production tidak mampu saya tolak. "Ini peluang untuk saya bekerja dengan produksi lain dan juga pengarah muda dan hero baru. Bukan mahu lari dari Tayangan Unggul, tetapi kalau ada peluang di tempat lain, apa salahnya. "Saya juga mendapat tawaran dari Tayangan Unggul untuk menjayakan siri Kapoww arahan Azizi Chunk, tetapi terpaksa menolaknya kerana sudah memberi persetujuan berlakon Khurafat," katanya.
Gadis kelahiran Kuantan, Pahang pada 28 Mac 1988 ini mula dikenali menerusi filem Castello bersama Rosyam Nor hingga menang Pelakon Harapan Wanita Terbaik di FFM19 pada 2006. Selepas itu, Liyana sering berlakon dengan produksi Tayangan Unggul seperti Syaitan, Maut, Histeria, Papadom dan terbaru, Duhai Si Pari Pari arahan Azmi Md Hata yang ditayangkan kepada umum pada 31 Disember lalu. Satu lagi filemnya bersama Tayangan Unggul, Misteri Jalan Lama arahan Afdlin dijangka ditayangkan tahun ini.
Liyana juga berlakon dengan produksi lain seperti Kami The Movie, Niang Rapik The Movie dan Pisau Cukur. Katanya, Khurafat juga menyaksikan gandingan pertamanya dengan Syamsul sebagai suami isteri. Malah, dalam filem ini, Liyana tampil bertudung dan menjadi isteri yang setia dan sabar dengan masalah menimpa rumah tangganya.
Untuk mengelakkan rasa kekok di lokasi, Liyana meminta kebenaran daripada Yusof untuk mengenali lebih mendalam anak bujangnya sebelum memulakan penggambaran. Ternyata anak bongsu daripada empat beradik dan sentiasa ditemani ibu, Habsah Simpon, tiada masalah mencari keserasian dengan Syamsul. "Dalam filem ini, kami menjadi pasangan suami isteri muda dan berkahwin atas dasar cinta. "Bagaimanapun suami terjebak dengan kekasih gelap dan wanita itu tidak mahu melepaskannya. "Dia menggunakan pelbagai cara untuk menundukkan suami saya dengan amalan khurafat. Bagaimanapun, sebagai isteri, saya bersabar dan tabah dengan segala dugaan diterima," katanya.
Filem keempat arahan Syamsul ini juga satu genre baru buatnya apabila mencuba filem seram selepas berjaya dengan tiga filem aksi. Filem terbarunya, KL Drift 2 bakal ditayangkan Mac ini. Filem ini mula menjalani penggambaran sejak seminggu lalu.
Liyana yang ditemui pada majlis mengumumkan Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009), tampil dengan gaya funky sesuai dengan imej remajanya. Katanya, dia bangga apabila dicalonkan untuk Pelakon Filem Wanita Popular sebaris dengan Maya Karin, Sharifah Amani, Lisa Surihani dan Diana Danielle. Bagaimanapun, Liyana yang mencuba dunia nyanyian melalui album sulung, Liyana Jasmay dan popular dengan lagu Aku Tak Percaya Cinta, tidak disenaraikan dalam kategori penyanyi. Album konsep Pop Teen Rock ini berada di pasaran sejak 18 November lalu.
Malah, kemunculannya sebagai penyanyi pernah mendapat kecaman hebat apabila dikatakan merosakkan lagu dan tidak layak bergelar penyanyi. Apapun, Liyana tidak melatah dengan kritikan itu sebaliknya melihat ia dari sudut positif untuk memperbaiki vokalnya. Liyana juga baru melancarkan single terbaru, Aku Jatuh Cinta dan bakal melancarkan single ketiga, Penyelamat Cinta pada Mac ini.
Untuk tahun ini, kata Liyana, dia mahu tumpukan perhatian pada pelajaran, nyanyian dan lakonan. Liyana juga meluahkan impian untuk bekerja dengan pengarah lain seperti Osman Ali dan Saw Teong Hin.
Pada Mac ini, Liyana akan sambung belajar bagi mendapatkan Diploma Seni Persembahan & Media di Sunway University College, Bandar Sunway. Liyana juga bakal menjayakan filem Papadom 2 yang dijangka memulakan penggambaran pertengahan tahun ini.
>Profil NAMA PENUH: Liyana Jasmay
TARIKH LAHIR: 28 Mac 1988
ASAL: Kuantan, Pahang
KELUARGA: Bongsu daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Pelajar jurusan Diploma Seni Persembahan & Media di Sunway University College, Bandar Sunway, Selangor
FILEM: Castello, Syaitan, Maut, Histeria, Kami The Movie, Papadom, Pisau Cukur, Duhai Si Pari Pari, Niang Rapik The Movie dan Papadom 2
DRAMA: Laila Sari, Zeti & Mawas, Ponti Anak Remaja, Niang Rapik The Series, Najwa dan Sari Maya
ALBUM (EP): Liyana Jasmay
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Terbaik FFM19 (Castello), Pelakon Wanita Terbaik FFM22 (Papadom) dan Pelakon Wanita Terbaik ASK2009 (Kami The Movie)